Pengenalan

Pengenalan kepada Persatuan Mahasiswa Islam TATI University College (PMIT)

Logo Rasmi Persatuan Mahasiswa Islam TATIUC
Motto: "Mahasiswa Rabbani Pemangkin Masyarakat Madani"

PMIT merupakan salah sebuah persatuan berdaftar yang akan menaungi semua mahasiswa dan mahasiswi di TATIUC malah merupakan persatuan yang amat aktif sepanjang masa penubuhannya. Sebagai sebuah persatuan, PMIT sentiasa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dasar. Melalui program-program yang dijalankan akan memperkembangkan lagi konsep budaya ilmu, berfikir, beriman dan beramal, PMIT akan sentiasa berusaha untuk memimpin ummah ke arah kecemerlangan.

Sejarah Penubuhan PMIT

PMIT merupakan persatuan yang pertama dan terulung di TATI. PMIT ditubuhkan pada 15 Mac 1997 hasil pemikiran daripada seorang mahasiswa TATI yang juga merupakan seorang Exco PMIT pada masa itu. Beliau merupakan saudara Ahmad Fauzian Mohamad yang memegang jawatan sebagai setiausaha. Beliau berpendapat, "tanpa berpersatuan, hidup sebagai seorang mahasiswa adalah tidak bermakna jika tidak dapat berjasa kepada masyarakat dan IPT itu sendiri". Dari hasil pemikiran inilah, maka beliau telah menubuhkan PMIT sebagai perintis kepada mahasiswa dan mahasiswi agar dapat hidup dengan lebih yakin dan berketerampilan.

Syed Khairil Afizul Syed Ahmad pula merupakan presiden PMIT yang pertama sejak persatuan ini ditubuhkan. Pada awalnya ,Encik Yusof bin Ibrahim memegang peranan sebagai penasihat satu. Namun, tugas ini telah diambil alih oleh Ustaz Hilmi bin Ismail pada 8 Febuari 1998. Beliau yang merupakan lepasan dari Universiti Malaya adalah seorang yang aktif dalam berpersatuan. Justeru,segala pengalaman dan kemahiran yang ada disertai daya intelektual beliau, terus disumbangkan dalam usaha menjana gerakan persatuan ini.

Pada awal penubuhan PMIT ini, kebanyakan daripada ahlinya terlibat dalam persatuan lain. Lantaran itu, banyak projek yang dirancangkan oleh PMIT terus tergendala. Namun begitu, atas semangat juang yang tinggi, Persatuan Mahasiswa Islam TATI ini terus bangkit kembali dibawah Penasihat satu Ustaz Hilmi bin Ismail dan Encik Abdul Halim Azmi Sidek selaku Penasihat dua yang telah banyak mengorak langkah bersama ahli Exco PMIT yang baru dalam memantapkan lagi kedudukan PMIT di TATI ini.

Pelbagai aktiviti telah dilakukan oleh PMIT sepanjang penubuhannya di TATI. Aktiviti yang dilakukan pula terbahagi kepada dua iaitu Aktiviti Dalaman yang merangkumi kegiatan pelajar dalam kampus dan Aktiviti Luaran yang merangkumi program kemasyarakatan luar kampus. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan ini adalah untuk memupuk sikap bertanggungjawab, berdisplin, tolong-menolong dan merapatkan hubungan silatulrahim yang bukan sahaja diantara mahasiswa TATI tetapi juga dengan masyarakat setempat.

Dari segi kewangan pula, PMIT sebelum ini pernah menubuhkan Koperasi PMIT namun disebabkan oleh beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, maka koperasi tersebut terpaksa ditutup. Selain itu Gerai PMIT juga pernah menjadi sumber kewangan yang banyak memberi sumbangan kepada PMIT. Pelaburan individu terhadap PMIT sebelum ini juga banyak membantu PMIT menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti mana yang telah dilakukan sebelum ini.

Pada tahun 2002/03 perjuangan ini seterusnya disambung oleh penasihat baru iaitu Ustaz Wan Mohd Ubaidillah Wan Abbas. Kini, pada tahun 2004/2005 perjuangan ini diteruskan pula oleh Ustaz Nik Mohd Nasri Nik Malik, Encik Mior Hassan Sazali dan Encik Nazri Ibrahim sebagai penasihat baru PMIT. Semoga Persatuan Mahasiswa Islam akan terus berdiri kukuh di bumi tati dengan semangat dan kerjasama dari semua pihak. InsyaAllah.

Objektif Penubuhan PMIT
  1. Membentuk peribadi muslim dalam diri setiap mahasiswa yang memahami konsep sebenar Islam yang merangkumi kehidupan duniawi dan ukhrawi berdasarkan Syariah Islamiah.
  2. Mengeratkan silaturrahim mahasiswa TATIUC dengan masyarakat kampus dan luar kampus.
  3. Menggalakkan mahasiswa supaya cenderung dalam berpersatuan serta pemangkin pergerakan mahasiswa TATIUC.
  4. Mendedahkan mahasiswa dengan progam motivasi, ceramah, bersukan, forum, dan lain-lain aktiviti.
  5. Menerapkan budaya mahasiswa dalam menjana profesionalisme di kalangan mahasiswa TATIUC.
  6. Merealisasikan hasrat institusi ke arah melahirkan teknokrat yang bersahsiah dan berkemahiran tinggi serta berdaya saing.
  7. Melatih ahli-ahli persatuan dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawab dalam organisasi program.
  8. Mengintegrasikan pendidikan Islam dan akademik di kalangan mahasiswa Islam bagi melahirkan generasi mahasiswa yang lengkap dengan kedua-dua bidang.
.

No comments: