Disediakan Oleh ;
Syahrul Alim bin Baharuddin
Pensyarah Di Jabatan Ijazah
Muqaddimah
Organisasi dan mahasiswa merupakan satu kombinasi yang pernah mengegarkan Malaysia dan dunia pada satu ketika dahulu. Organisasi atau kehidupan berjamaah dan berkumpulan merupakan salah satu sarana utama mahasiswa dalam menjalankan berbagai aktiviti samada bersukan, berpesatuan, bermasyarakat, kepimpinan, pembelajaran hinggalah kepada menyuarakan pendapat. Dalam konteks dakwah Islamiyah dan kebangkitan Islam di Malaysia telah dipelopori oleh golongan mahasiswa melalui gerakan-gerakan berjamaah (berkumpulan). Kemasukan semangat Islam diantara tahun 1906-1920an sebenarnya dimulakan oleh graduan-graduan seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas bin Mohd dan lain-lain melalui gerakan Islah Islamiyah. Selain itu, Rovolusi Iran, gerakan mahasiswa di Korea dan yang terakhir reformasi di Indonesia telah menyedarkan kita betapa besarnya pengaruh dan peranan yang dimainkan oleh mahasiswa sebagai agen perubahan dalam sesebuah negara. Malangnya akhir-akhir ini kombinasi organisasi dan mahasiswa mulai nampak lesu dan hambar. Bukan hanya di peringkat TATi University College (TATI), malahan hampir seluruh IPT yang ada di Malaysia.
Pentingnya Organisasi Dalam Masyarakat Mahasiswa
Jamaah atau organisasi merupakan satu struktur yang dibina secara sistematik. Bermula daripada Kepimpinannya hinggalah kepada AJK dan ahli-ahlinya dengan tanggungjawab masing yang telah ditetapkan. Objektif penubuhan, visi dan misi perlulah jelas agar ianya dapat bergerak seiring dengan keperluan ahli dan masyarakat. Selain aktiviti organisasi, para ahlinya juga boleh menyuarakan pandangan dan pendapat secara berjamaah dan akan lebih didengar berbanding suara atau pendapat individu. Sedangkan berdakwah merupakan tanggungjawab golongan mahasiswa. Sebagaimana firman Allah :
“Dan hendaklah di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah” (Ali-Imran, ayat 104)
Selain itu, melalui persatuan dan organisasi yang terbina ini para mahasiswa mampu menyalurkan dan memupuk keterampilan dalam kepimpinan, pengurusan, komunikasi, keyakinan diri dan sebagainya yang mana kita tidak akan dapat daripada pelajaran dalam bilik kuliah. Apa akan berlaku jika mahasiswa yang satu ketika dulu dianggap golongan intelek dan boleh diharap dalam masyarakat hanya tahu tentang buku-buku pelajarannya sahaja. Tiada keterampilan lain. Tidak tahu cara untuk memimpin dan mengurus. Pasti pada masa akan datang negara kita mengahadapi masalah besar seperti ketandusan kepimpinan kerana mahasiswa hari ini adalah pemimpin dimasa hadapan. Usahkan memimpin dunia, negara dan masyarakat, malah diri sendiri tidak mampu diurus dengan baik.
Peter Druker dalam bukunya The Organization Of The Future menyatakan “We are moving to network society”. Menurut pandangan beliau pada masa akan datang siapa yang memiliki jaringan kenalan dan sahabat akan mempermudahkannya mencapai kejayaan dalam apa juga kegiatan samada berniaga, bernegosiasi, melancong, belajar, peperangan dan sebagainya. Lihatlah jaringan yang dibina oleh golongan Yahudi. Walaupun mereka sedikit tetapi dapat memperkudakan kuasa besar dunia.
Realiti Organisasi Dan Masyarakat Mahasiswa Kini
Kesibukan dan jadual belajar yang ketat merupakan alasan yang paling popular dikalangan mahasiswa samada di IPTA maupun IPTS. Ada pendapat yang mengatakan bahawa laungan yang diteriakkan oleh golongan mahasiswa begitu diambil berat dan direnungi oleh kerajaan di sekitar tahun 1970an, namun mengapa menjelang mellinium baru, suara mahasiswa hanyalah hampas dan kosong? Budaya takut kepada tekanan, pengaruh materialisme dan teraba mencari tempat dan rentak yang sesuai untuk bergerak adalah faktor-faktor yang cukup sinonim dengan kelesuan golongan mahasiswa.
Di TATI sendiri, banyak keluhan dan rungutan daripada pensyarah-pensyarah menyatakan bahawa pelajar TATI tidak mampu berdiri dan bergerak sendiri. Sentiasa memerlukan dorongan dan sokongan dari pada orang lain. Kurang inisiatif, tiada independent force dan seterusnya kurang aktif. Mungkin ada benarnya, kalau tidak masakan ada persatuan yang dibubarkan, persatuan yang tidak cukup ahli, tidak pernah bermusyuarat dan sebagainya. Lebih parah lagi kita di hujani pula dengan berbagai masalah disiplin yang sepatutnya dapat dibendung oleh masyarakat mahasiswa itu sendiri.
Kita tidaklah dituntut agar mengadakan demostrasi di jalanan, mengadakan piket atau membuat memorendom bantahan sebagaimana yang telah dilakukan oleh mahasiswa era 70an. Ianya mungkin sesuai untuk zaman tersebut. Mejelang era 80an, dimensi psikologi dan intelektual mahasiswa sudah mulai berubah. Idealisme mahasiswa tetap ada dan ianya semakin canggih kerana membabitkan bagaimana melaksanakan slogan Islam sebagai cara hidup. Implikasinya, aktiviti mahasiswa mulai berubah kepada bentuk yang lebih canggih seperti debat, seminar, kursus, bengkel dan sebagainya. Ianya terus berlanjutan hingga ke tahun 90an. Malangnya mega trend yang berlaku dalam hampir semua IPT tempatan dan luar negara ini tidak dikongsi bersama oleh mahasiswa TATI. Boleh dikira dengan jari aktiviti untuk meningkatkan intelektual masyarakat mahasiswa TATI telah dilaksanakan oleh persatuan-persatuan pelajar yang ada di TATI.
Mahasiswa seharusnya sentiasa responsif dan peka kepada perkembangan yang berlaku di sekelilinganya. Satu anjakan dan letupan paradigma perjuangan dan pemikiran terhadap kondisi ummah yang semakin parah amat diperlukan. Setiap organisasi yang wujud dikalangan mahasiswa disatu tempat mestilah sentiasa berinteraksi dan mendapatkan maklumat diantara satu sama lain.
Kesimpulan
Keupayaan mahasiswa menggerakkan persatuan dan jamaah yang ada dalam masyarakat sepatutnya menjadi tonggak kecemerlangan tamadun ummah hari ini dan akan datang. Mahasiswa harus bangun dan berjuang di atas satu landasan perjuangan yang jelas kearah meningkatkan keintelektualan dan keterampilan diri dengan gabungan iman, akal dan budi.
Daftar Rujukan
1. Islam dan Pembangunan Negara, Mahyudin Haji Yahya, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986.
2. Islam Jalannya Dari Sini, Muhammad Al-Ghazali, Yayasan Islam Terengganu, 1996.
3. Pemikiran Islam Di Malaysia,Sejarah Dan Aliran, Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Gema Insani Press, 1997.
4. Menangani Cabaran Membina Kecemerlangan Tamadun Ummah, Mustafa Kamil Ayub, Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1994.
5. The Organization Of The Future, Peter Drucker, PT Elex Media, 1997.
No comments:
Post a Comment